fbpx

Yayasan Petronas santuni 2,500 murid, pelajar di selatan tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zaki (dua dari kiri) menyampaikan kelengkapan persekolahan kepada seramai 2,500 murid dan pelajar sekolah di selatan Malaysia dalam satu program yang diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Yayasan Petronas terus menyokong sistem pendidikan nasional dengan menyumbang kelengkapan sekolah kepada lebih 2,500 murid dan pelajar di selatan tanah air, baru-baru ini.

Ketua Petronas Selatan, Mohd. Zaki Mahat berkata, sumbangan kepada golongan keluarga berpendapatan rendah itu disalurkan menerusi Program ‘Powering Knowledge: Back to School (BTS 2023)’.

Menurut beliau, program itu dilaksana bagi membolehkan murid dan pelajar dari golongan keluarga berpendapatan rendah menyambung pendidikan dan seterusnya menamatkan sesi persekolahan.

“Petronas komited menyokong setiap pelajar mencapai matlamat mereka. Kami berharap, pelajar dari golongan keluarga berpendapatan rendah ini akan menerima manfaat daripada sumbangan yang diberikan.

“Ini sekali gus diharapkan dapat menggalakkan pelajar menyambung pelajaran mereka untuk masa depan yang cerah. Ia juga bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa pelajar berkenaan,” katanya yang menyempurnakan majlis penyerahan bantuan itu di setiap negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, baru-baru ini.

Program itu melibatkan seramai 1,470 murid dan pelajar dari Johor; 420 dari Melaka dan 630 dari Negeri Sembilan, terdiri daripada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah rendah.

Tambah Mohd. Zaki, setiap daripada mereka menerima baucer sepasang pakaian seragam sekolah, sepasang pakaian sukan, sepasang kasut dan stokin yang sah untuk ditebus dalam masa empat bulan.

“Sebagai tambahan, pelajar yang layak turut menerima beg sekolah mengandungi pensel warna dan alat tulis, manakala tambahan kalkulatur saintifik bagi penerima dari sekolah menengah rendah.

“Untuk rekod, bagi sesi persekolahan tahun ini, program BTS 2023 telah dilaksanakan sejak pertengahan Mac lalu hingga Julai ini di 16 negeri seluruh Malaysia membabitkan 21,000 penerima,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI