GEORGE TOWN – Polis menahan reman seorang wanita yang disyaki memasuki ke kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, di sini dan memecahkan logo agensi tersebut kelmarin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, permohonan reman ke atas suspek berusia 53 tahun dibenarkan selama tiga hari sehingga 5 Julai ini.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian berlaku daripada seorang pegawai bomba dari sebuah balai bomba di dalam daerah Timur Laut kira-kira pukul 12.43 pagi semalam.
“Laporan ini menyatakan pihak bomba menahan seorang wanita tempatan kerana memecahkan logo agensi tersebut di dalam kawasan balai bomba.
“Suspek berasal dari Pulau Pinang dan tidak mempunyai rekod lampau, hasil ujian saringan awal polis didapati suspek bebas daripada sebarang jenis dadah,” katanya kepada pemberita petang ini.
Sebelum ini, tular klip video di media sosial yang memaparkan seorang wanita merosakkan bahagian dinding BBP Bagan Jermal menggunakan penukul.
Jelas Soffian, suspek yang disyaki mengalami masalah mental telah dirujuk dan ditahan di Wad Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menularkan sebarang gambar dan rakaman video berkenaan kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata, wanita tersebut datang ke balai itu pada pukul 11.45 malam, 2 Julai lalu.
“Menurut pegawai dan anggota bomba yang bertugas di BBP Bagan Jermal, mereka tidak mengenali wanita ini dan telah cuba menghalangnya daripada merosakkan sudut wow faktor di balai tersebut, namun dia tidak mengendahkannya.
“Pegawai bomba yang bertugas terus menghubungi pihak polis sebelum mereka datang dan menahan wanita tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE