LIVERPOOL – Bintang baharu Liverpool, Dominik Szoboszlai memilih untuk menyarung jersi No. 8 yang merupakan nombor keramat pernah digunakan legenda kelab tersebut, Steven Gerrard.
Szoboszlai, 22, mengikat kontrak lima tahun di Anfield selepas Liverpool mengaktifkan klausa perpindahan dalam kontraknya bersama RB Leipzig bernilai £60.1 juta (RM356.19 juta).
Pemain tengah menyerang itu dilihat lebih sesuai menggunakan nombor tersebut berbanding pemakainya sebelum ini, Naby Keita yang gagal menyerlah kemampuan sebenarnya.
Bintang Hungary itu juga yakin dia mampu menyerap segala tekanan terhadap keputusannya untuk menggunakan No. 8 yang merupakan nombor ikonik Gerrard.
“Saya kurang menonton bola sepak semasa kecil tetapi hanya Liga Juara-Juara Eropah atau perlawanan besar. Saya akan menyaksikan Liverpool disebabkan dia (Gerrard) adalah seorang pemain bernama besar.
“Tiga atau empat hari lalu terasa amat panjang dan tidak mudah. Akhirnya saya di sini, saya gembira dan tidak sabar untuk memulakannya,” kata Szoboszlai.
Pada masa sama, Szoboszlai turut mendedahkan tertarik untuk menyertai The Reds disebabkan projek menarik pengurus pasukan itu, Jurgen Klopp yang mahu menjadikannya sebagai watak penting.
Sebagai rekod, kehadiran Szoboszlai menyaksikan dia menjadi pembelian kedua Liverpool selepas terdahulu berjaya merekrut pemenang Piala Dunia 2022 bersama Argentina iaitu Alexis Mac Allister dari Brighton. – AGENSI