MANJUNG – Seorang ibu tunggal di sini bergantung harap kepada pendapatan kira-kira RM200 sebulan dan sedikit bantuan kewangan daripada pihak berwajib bagi menyara lima anaknya termasuk bayi yang baru dilahirkan bulan lalu.
Fadzilah Roshani, 38, berkata, dia terpaksa membesarkan anak-anaknya seorang diri setelah suaminya, Abdullah Mat, 53, meninggal dunia pada 14 November tahun lalu kerana masalah jantung ketika usia kandungannya lima bulan.
“Sebelum ini, kami mencari rezeki dengan menawarkan khidmat memotong rumput.
“Setelah suami meninggal dunia, tanggungjawab itu terletak di bahu saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seri Manjung di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Noor Fadzilah berkata, dia masih lagi meneruskan perkhidmatan memotong rumput, namun berdepan kekangan untuk melakukannya sendiri.
Katanya, kerja itu diberikan kepada orang lain dan dia dibayar komisen antara RM10 hingga RM30 bagi setiap pelanggan.
“Dalam sebulan, saya memperoleh komisen antara RM150 hingga RM200.
“Selain itu, kami sekeluarga turut bergantung kepada bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat termasuk barangan bayi, jumlah itu tidak mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, dia berkata, sejak arwah suaminya mula berdepan masalah kesihatan sekitar 2020, anak sulungnya terpaksa berhenti sekolah disebabkan masalah kawangan.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh menghubungi Fadzilah di talian 014-348 9141 atau menyumbang ke akaun Maybank iaitu 158293545814.