KUALA LANGAT – Seorang pemuda sempat meminta bantuan sebelum dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Banting di sini, hari ini.
Usaha meminta bantuan itu dilakukan lelaki berusia 20-an dalam keadaan dirinya terkapai-kapai di dalam sungai itu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 1.14 tengah hari tadi.
“Lelaki itu dikhuatiri lemas selepas disedari orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai terkapai-kapai di dalam sungai meminta bantuan dan terus tenggelam ke dalam sungai tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, bomba telah memulakan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan termasuk menggunakan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam.
“Setakat pukul 4.40 petang tadi mangsa belum ditemukan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE