fbpx

Permohonan Rosmah tangguh pendengaran rayuan kes rasuah didengar Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk menangguhkan prosiding rayuan mengetepikan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya.

Permohonan Rosmah, 71, itu akan didengar di Mahkamah Rayuan di sini melalui sebutan kes pada Jumaat ini.

Sementara itu peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.

Peguam itu menyatakan pembelaan memohon penangguhan bagi membolehkan rayuan berhubung pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan diputuskan Mahkamah Persekutuan terlebih dulu.

Menurut Akberdin, permohonan penangguhan itu sudah dimaklumkan kepada Mahkamah Rayuan melalui surat yang dihantar pada bulan lalu.

Untuk rekod, pada 22 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah, dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn ketika dihubungi media hari ini, berkata sebutan kes pada Jumaat ini berkemungkinan besar berhubung rayuan menangguhkan prosiding.

Beliau berkata, semua pihak sudah memfailkan hujahan masing-masing dan tarikh pendengaran akan ditentukan pada hari sebutan berkenaan.

Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu, menetapkan selama empat hari bermula 11 Julai ini untuk mendengar rayuan berkenaaan.

Pada 1 September tahun lalu Rosmah, 71, dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah tersebut.

Hakim Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmah selepas mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 30 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 71, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Kemudian pada pada 13 Oktober tahun tahun sama, Rosmah memfailkan rayuan dengan mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa Hakim Mohamed Zaini Mazlan merumuskan pembelannya adalah penafian kosong (bare denial). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI