fbpx

Peluang Azeem ukir sejarah baharu pada Olahraga Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM yang sudah berlatih di Universiti Auburn akan menyertai acara 100m pada Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand bermula 12 Julai ini.

SEJARAH baharu olahraga tanah air mampu terukir di bumi Thailand seandainya ja­guh pecut, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi merangkul pingat emas 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya bermula 12 Julai ini.

Azeem, 19, akan menjadi pelari pertama negara dinobatkan sebagai raja pecut Asia, memadam pencapaian terbaik pernah dilakar Watson Nyambek yang meraih pingat perak di Fukuoka, Jepun pada 1998.

Menariknya, Azeem juga bakal menjadi pelari pertama dari Asia Tenggara berjaya me­lakukannya selepas jaguh pecut Indonesia, Lalu Muhammad Zohri meraih tempat kedua ketika edisi terakhir di Doha, Qatar empat tahun lalu.

Jurulatih pecut kebangsaan, Mohd. Poad Kassim optimis Azeem berpeluang menaiki podium berdasarkan prestasi cemerlangnya bersama Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat sepanjang tahun ini.

“Azeem ada peluang naik podium,” kata Poad yang kini bersama barisan pelari pecut lelaki dan wanita termasuk Azeem menjalani kem latihan selama seminggu di Universiti Pendidikan Sultan Idris bermula kelmarin.

Azeem dijangka dicabar Abdul Hakim Sani Brown (Jepun), Yupun Abeykoon (Sri Lanka), Xie Zhenye (China), Chun Han Yang (Taiwan) dan Femi Ogunode (Qatar).

Jika berjaya, pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu akan menamatkan penantian 16 tahun negara untuk kembali memenangi pingat emas sejak edisi 2007 di Amman, Jordan.

Dua emas ketika itu disumbangkan oleh dua legenda negara iaitu jagoan lompat tinggi, Lee Hup Wei dan bekas ratu lompat bergalah Asia, Roslinda Samsu.

Hup Wei yang pernah beraksi di tiga pentas Olimpik, melihat kontinjen kali ini mempunyai potensi untuk mengulangi pencapaiannya sama ada menerusi acara pecut atau lempar cakera.

“Mereka perlu berikan yang terbaik dan jangan sesekali takut. Kalau ada sikit pun rasa takut memang susah nak menang. Saya dahulu turun sebagai underdog tetapi akhirnya berjaya menang pingat emas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI