fbpx

Mansuh Tol Sungai Nyior bawah kuasa Kerajaan Pusat – Kon Yeow

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Sebarang keputusan untuk memansuhkan Tol Sungai Nyior di Butterworth, dekat sini adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Pusat memandangkan terdapat perjanjian antara Kerajaan Pusat dengan syarikat konsesi lebuh raya berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemansuhan tol berkenaan memerlukan penelitian dan pertimbangan mendalam kerana ia membabitkan kepentingan banyak pihak serta melibatkan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi tersebut.

“Saya rasa ini di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat yang ada perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya itu, sekiranya ia dibatalkan maka isu pampasan timbul.

“Jadi bagi kerajaan negeri saya percaya ia perlu dipertimbangkan oleh kementerian yang berkenaan untuk melihat apa pampasan yang akan diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Batu Gantung, di sini hari ini.

Semalam, Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak DAP yang mengetuai kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kegagalan memansuhkan Tol Sungai Nyior seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum PRU-12 (2008).

Plaza Tol Sungai Nyior mula beroperasi pada Januari 2007 dan pada Oktober 2015, Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) mengumumkan kadar kenaikan tol terbabit antara 50 sen sehingga RM1.60.

Kadar baru tol bagi kelas pertama adalah RM1.20 berbanding 70 sen, kelas kedua RM2.40 berbanding RM1.00 dan kelas tiga RM3.60 berbanding RM2.00.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah pemansuhan Tol Sungai Nyior itu akan dimasukkan di dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN), Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, soal manifesto PRN masih belum dimuktamad setakat ini.

“Kita ambil maklum mengenai isu-isu yang dimainkan (parti pembangkang) termasuk soal pemansuhan tol ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI