JOHOR BAHRU – Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (Kupemas) berharap kenaikan 2 peratus pencen tahunan pesara kakitangan kerajaan dikekalkan sehingga kerajaan melaksana pelarasan gaji baharu bagi penjawat awam.
Pengerusinya, Datuk Omar Osman berkata, pelarasan gaji tersebut juga perlu memastikan manfaat diterima lebih 1 juta pesara kerajaan adalah melebihi manfaat diterima berbanding sistem digunakan, ketika ini.
Menurut beliau, pihaknya bimbang jika kenaikan tahunan tersebut dihentikan tanpa sebarang penilaian teliti, ia akan menjejaskan golongan berkenaan pada masa depan.
“Kira-kira 80 peratus daripada lebih 1 juta ahli Kupemas adalah golongan dalam kumpulan M40 dan B40, dan ramai dalam kalangan mereka yang menerima gaji sekitar RM1,000 ketika mereka bekerja dahulu.
“Jadi, kenaikan tahunan sebanyak dua peratus itu sendiri tidak terlalu besar, namun jika ianya dihentikan tanpa sebarang pelarasan gaji baharu, ramai pesara kerajaan akan terjejas.
“Perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku kerana kos sara hidup ketika ini semakin meningkat dengan pelbagai tekanan ekonomi turut dirasai mereka,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Larkin, di sini hari ini.
Sebelum ini panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan peruntukan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak 2 peratus setiap tahun, bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.
Sehubungan itu, panel dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah.
Mahkamah Persekutuan berpendapat Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan betul dalam mengekalkan status quo Seksyen 3 dan 6 iaitu sebelum pindaan 2013.
Tambah Omar, pihaknya juga berharap kerajaan akan menyegerakan pelarasan gaji kakitangan awam yang secara tidak langsung akan turut beri manfaat kepada pesara kerajaan ketika ini.
“Kita tidak mahu pesara kerajaan kehilangan manfaat yang diterima sejak 10 tahun lalu tanpa digantikan dengan apa-apa inisiatif lain, dan kita juga tidak mahu kadar pencen yang diterima setelah kenaikan tahunan dua peratus itu dikembalikan kepada pencen asal.
“Kerajaan diharap tidak memandang ringan kepada jasa dan pengorbanan yang telah dibuat golongan pesara sepanjang mereka berkhidmat dengan kerajaan, jangan biarkan mereka terus hidup dalam kemiskinan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE