LABUAN – Seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 dalam kejadian di apartment Ganggarak Permai, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, mayat mangsa ditemui di tingkat satu bangunan terbabit dalam kejadian pada pukul 5.28 pagi itu.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa adalah warga tempatan dan tinggal di tingkat 10 apartment itu. Mangsa dipercayai terjatuh dari bahagian tepi bangunan berpagar berdekatan dengan lif apartment berkenaan.
“Pegawai perubatan yang hadir di lokasi pada pukul 7.42 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Labuan dan diserahkan kepada Unit Forensik untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
“Siasatan polis mendapati tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Polis memohon orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan di talian 087-412222,” katanya. – KOSMO! ONLINE