KEMAMAN – Tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini dilaporkan kerap berlaku, namun ini merupakan kejadian pertama yang meragut nyawa pengunjungnya.
Seorang penduduk, Mohd. Yusof Sulong, 60, berkata, penduduk setempat sedia maklum bahawa lokasi yang terletak berhampiran Hutan Simpan Bukit Banun itu bukan kawasan yang selamat untuk beriadah.
“Amat jarang pengunjung masuk ke kawasan Jeram Mawar kecuali pemancing tegar.
“Kawasan itu juga agak terpencil kerana terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari jalan utama selain tiada liputan telekomunikasi.
“Kejadian kepala air yang menghanyutkan 10 sekeluarga yang berlaku pada Sabtu lalu amat mengejutkan kami (penduduk kampung),” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Air Putih di sini semalam.
Mohd. Yusof memberitahu, sepanjang pengetahuannya, hanya seorang pemancing disahkan meninggal dunia selepas tergelincir di Jeram Mawar pada awal tahun lalu.
Seorang lagi penduduk kampung, Hashimah Hasan, 56, memaklumkan, tragedi kepala air tersebut dipercayai berlaku lewat petang pada hujung minggu lalu.
“Hujan turun agak lebat di hulu (Kemaman) dan kami percaya mungkin berlaku kepala air di jeram tersebut.
“Kami tidak sedar ada keluarga memasuki kawasan jeram itu sehingga terdapat penemuan mayat di Kampung Pasir Gajah pada tengah hari semalam (kelmarin),” kata wanita itu.