PETALING JAYA – Johor Port Berhad (Johor Port) telah memeterai memorandum kerjasama selama tiga tahun dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang diperoleh dalam industri pelabuhan serta logistik dalam usaha meningkatkan latihan vokasional negara melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan pendedahan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir berkata, melalui kerjasama ini, Johor Port akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program TVET negara khususnya dalam pembangunan kurikulum dan bahan latihan serta menyediakan kemudahan latihan bagi program operasi pelabuhan.
Kerjasama itu juga merupakan satu lagi pencapaian bermakna buat Johor Port melalui JP Skills Centre (JPSC) yang bertanggungjawab menyediakan latihan kepada pelabuhan tempatan dan serantau.
“Kerjasama selama tiga tahun dengan KSM ini adalah bukti komitmen kami untuk memberi kembali demi pembangunan masyarakat, di samping memperkasa industri dengan melahirkan bakat-bakat mahir,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
JPSC sebelum ini telah menganjurkan pelbagai program latihan berkualiti tinggi dan telah menerima banyak pengiktirafan di peringkat tempatan dan global.
Tahun lalu, JPSC diiktiraf sebagai Penyedia Latihan TVET Terbaik (pelabuhan dan logistik) di Anugerah Pendidikan & TVET Malaysia (META) dan pernah dinobatkan sebagai Penyedia Latihan Pelabuhan dan Terminal Terbaik Dunia 2019 oleh International Global Ports Forum.
JPSC yang ditubuhkan pada 2014 adalah Pusat Latihan Johor Port dan Pusat Kecemerlangan MMC Ports yang telah melatih lebih 8,000 pegawai pelabuhan dan logistik di Malaysia, Taiwan, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Vietnam, Ghana serta Nigeria. -KOSMO!ONLINE