PETALING JAYA – Menyedari keseriusan pelawak dan penyampai radio, Shuib meneruskan tuntutan saman fitnah terhadapnya, individu yang berselindung di sebalik nama akaun John Dihani tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagram.
Menurut John, dia menyesali kesilapan menuduh ahli perniagaan itu mempunyai kaitan dengan agenda Freemason juga semasa membenarkan Allahyarham Siti Sarah ditidurkan untuk rawatan Covid-19 lebih dua tahun lalu.
Katanya, semua fitnah tercetus susulan kekhilafan memuat naik sebuah poster iklan barang kemas memaparkan wajah Shuib bersama isteri yang baru dinikahi pada 23 Jun lalu.
“Saya, John Dihani dengan rendah hati dan penuh penyesalan di atas khilaf yang saya lakukan dengan ini, ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada abang Shuib dengan penuh ikhlas.
“Ini berikutan hantaran pada 30 Jun 2023 dengan memuat naik gambar poster iklan barang kemas yang memaparkan wajah Shuib.
“Disebabkan hantaran di Instagram, ramai yang meninggalkan komen dan tindakan saya mengiyakan komen pengguna lain pada hantaran terbabit membawa kepada fitnah terhadap Shuib dan arwah isterinya, Siti Sarah,” tulisnya.
John Dihani juga memaklumkan hantaran berkenaan sebenarnya diambil daripada akaun Facebook pihak lain, tanpa memikirkan impak terhadap Shuib dan keluarga.
“Jauh dan ikhlas di sudut hati, saya menyesali tindakan saya berkongsi hantaran yang saya ambil dari akaun Facebook orang lain tanpa memikirkan kesan perkongsian itu,” ulasnya lagi.
Permohonan maaf terbuka tersebut dibuat sekitar dua jam selepas pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad, 39, berjumpa dengan seorang lagi lelaki, Zuhairi Abu Othman yang mengaitkan kematian Siti Sarah dengan fitnah serupa.
Tengah hari tadi, semasa pertemuan bersama Zuhairi, Shuib dengan tenang telah memaafkan lelaki itu namun bertegas mahu mengheret John Dihani ke muka pengadilan sekali pun individu itu mahu memohon maaf.
“Saya hanya ingin bersemuka dan menyelesaikan isu ini di mahkamah, malah sebarang perbincangan boleh dibuat melalui peguam saya saja kerana surat pun sudah dihantar kepadanya.
“Dia (John Dihani) ada mesej langsung semalam untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, tetapi saya buat keputusan tidak mahu berjumpa dengannya kerana dia sangat berlagak.
“Saya tidak kenalinya dan tidak pernah mengusik keluarganya. Jika dia merasakan dirinya hebat sangat, bolehlah jumpa saya di mahkamah,” katanya pada sesi pertemuan dengan Zubairi di restoran miliknya, di Cheras, hari ini.
Semalam, Shuib mendedahkan dua hantaran dalam media sosial yang mengaitkannya dengan dakyah Freemason serta mendakwa arwah Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19 sebelum meninggal dunia dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE