BANGKOK, THAILAND – Sistem kesihatan awam di Thailand mengalami krisis kekurangan doktor berikutan ramai doktor muda memilih untuk meletak jawatan akibat bebanan kerja yang melampau dan mengganggu keseimbangan hidup mereka, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Kementerian Kesihatan Awam berdepan cabaran bagaimana mewujudkan persekitaran kerja lebih baik dan seimbang kepada doktor serta kakitangan kesihatan lain di seluruh negara serta dalam masa sama, mengekalkan amalan penjagaan kesihatan terbaik di hospital awam.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Sistem Kesihatan (HSRI), Jaruayporn Srisasalux berkata, pandangan terhadap pekerjaan dalam kalangan generasi muda telah berubah. Mereka kini lebih mementingkan keseimbangan dalam kehidupan dan kerjaya.
Justeru, katanya, golongan muda lebih memilih untuk berhenti kerja dan berpindah ke tempat kerja baharu yang boleh memenuhi keseimbangan tersebut.
Menurut Jaruayporn, doktor-doktor di Thailand berpendapat bahawa gaji mereka semasa berkhidmat di hospital kerajaan tidak setara dengan bebanan kerja yang perlu dipikul.
“Satu penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan menggaji lebih ramai doktor bagi mengisi kekurangan tenaga kerja.
“Namun realitinya, perkara ini tidak dapat dilakukan di hospital kerajaan disebabkan peruntukan yang terhad serta beberapa peraturan yang menyukarkan penyelesaian sedemikian dilaksanakan,” jelasnya.
Secara purata, gaji seorang doktor perubatan am di hospital kerajaan Thailand adalah sekitar 50,000 baht (RM6,640) sebulan, namun mereka boleh menerima gaji dua kali ganda lebih tinggi sekiranya berkhidmat di hospital swasta.
Ketika disoal mengenai masalah kekurangan doktor, Jaruayporn berkata, langkah seperti menaikkan gaji, menambah baik kebajikan golongan profesional tersebut dan jaminan pengembangan kerjaya akan menarik minat lebih ramai doktor bekerja di hospital kerajaan.
Menurut data kerajaan, terdapat 60,000 doktor di seluruh Thailand dengan 24,649 daripada mereka bekerja di bawah Kementerian Kesihatan Awam.
Namun, dari segi ratio pesakit kepada doktor, terdapat 10.27 doktor untuk setiap 10,000 pesakit di negara itu.
Angka tersebut amat sedikit berbanding nisbah 25:10,000 di Singapura, Jepun dan Korea Selatan selain 30:10,000 di Britain.
Dalam pada itu, penyelaras Kesatuan Pakar Perubatan Barisan Hadapan Thailand, Dr. Chutinart Chinudomporn berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan perlahan kerajaan dalam mengatasi masalah bebanan kerja doktor serta kekurangan kakitangan perubatan lain.
Menurutnya, dia sebelum ini bekerja 120 jam seminggu di hospital kerajaan. Namun, selepas berpindah ke hospital swasta, Chutinart dibayar gaji lebih tinggi dan bekerja hanya 40 jam seminggu.
“Secara purata, seramai 455 doktor meletak jawatan daripada hospital-hospital kerajaan di seluruh Thailand setiap tahun. Jika tiada dasar strategik untuk menyelesaikan masalah itu, kami tidak akan melihat sebarang ‘cahaya di hujung terowong’,” katanya. – Agensi