SUNGAI PETANI – Bekalan hasil laut di Kuala Muda, di sini dilaporkan meningkat sejak awal bulan lalu meskipun keadaan cuaca tidak menentu pada ketika ini.
Seorang nelayan, Azman Abdul, 55, berkata, dia dan rakan-rakannya menarik nafas lega apabila memperoleh rezeki lebih selepas hasil laut seperti kembung, pari, bawal, selangat, tenggiri, cencaru dan senangin ditangkap dalam kuantiti banyak setiap hari.
Katanya, sebelum ini hasil tangkapan kembung kurang 100 kilogram (kg) sehari, namun jumlah tangkapan itu meningkat mencecah 200 kg hingga 600 kg sehari.
“Disebabkan itu, harga borong ikan kembung kini antara RM7 hingga RM10 sekilogram, berbanding RM14 hingga RM15 sekilogram pada bulan lalu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pasar Bisik Ikan di Kuala Muda, di sini semalam.
Walau bagaimanapun, Azman mengakui, tangkapan hasil laut sememangnya sukar diramal ketika ini.
“Rezeki nelayan sukar diramal, ada masa pendapatannya banyak, ada ketika langsung tiada hasil tangkapan. Jika hari ini banyak hasil, belum tentu esok kami akan dapat jumlah hasil sama,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Padang Serai, Kulim, Hidayah Mohd. Ali, 35, berkata, dia dan suaminya, Faizal Mustafa, 37, sanggup datang seawal pukul 8 pagi untuk membeli hasil laut segar di pasar tersebut kerana harganya berpatutan.
Menurutnya, dia akan datang sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membeli ikan, udang dan ketam untuk dijadikan stok di rumah atau jika mengadakan majlis kenduri.
“Harga di sini sedikit berbeza dengan di pasar biasa, lebih murah. Yang penting, saya dan suami sanggup datang dari jauh kerana mahu mendapatkan ikan segar dari laut,” ujarnya.