HARAPAN peminat Liga Malaysia (Liga M) untuk menyaksikan kehadiran penyerang berkelas dunia, Radamel Falcao menyertai kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan kali ini mungkin tidak kesampaian.
Situasi ini disebabkan penyerang veteran Colombia itu dilaporkan sudah menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano untuk tempoh semusim lagi.
Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang selepas Falcao dilaporkan melawat fasiliti JDT pada bulan lepas selain sering berbalas hantaran dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial sejak awal tahun ini.
Namun, ‘jodoh’ penyerang berusia 38 tahun itu bersama skuad JDT mungkin tidak menjadi kenyataan dengan pengumuman rasmi penyambungan kontrak bersama Vallecano akan dimaklum dalam masa terdekat.
Laman portal bola sepak terkenal, transfermrket.com turut mengesahkan bahawa Falcao akan kekal di Eropah untuk tempoh semusim lagi.
Sebagai rekod, media daripada Sepanyol awal tahun ini mendedahkan Tunku Ismail berusaha untuk mendapatkan khidmat Falcao selepas kontraknya bersama Vallecano sepatutnya berakhir pada 30 Jun lepas.
Menurut laporan itu, JDT difahamkan tidak mempunyai masalah untuk menawarkan kontrak sehingga tahun 2025 kepada Falcao.
Malah, selepas kontraknya sebagai pemain berakhir di JDT, Falcao akan terus diberi tugas menjadi sebahagian daripada pengurusan skuad Harimau Selatan dengan menjadi duta kelab JDT di peringkat antarabangsa.
Falcao dianggap salah seorang penyerang berkelas dunia selepas mewakili beberapa kelab utama seperti River Plate, Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, United, Chelsea dan Galatasaray.
JDT yang dikendalikan oleh Esteban Solari pula sudah memiliki lapan pemain import musim ini terdiri daripada Jordi Amat, Bergson Da Silva, Leandro Velazquez, Diego Luis Santo, Shane Lowry, Juan Muniz, Oscar Arribas dan Fernando Forestieri.