fbpx

Dua kontraktor gagal siapkan projek PR1MA disenarai hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal Nasrullah (dua dari kiri) meninjau kemajuan Projek Residensi Junjong di Kulim, hari ini.

KULIM – Dua kontraktor pembinaan  di negeri ini ditamatkan perkhidmatan dan akan disenarai hitam selepas gagal menyiapkan projek perumahan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah  Mohd. Nasir berkata, pihak PR1MA kemudian melantik kontraktor penyelamat bagi meneruskan projek perumahan sakit tersebut.

Katanya, tiga projek perumahan sakit tersebut adalah Projek Residensi Seri Mahkota di Sungai Ular dan Projek Residensi Junjong di Kulim serta Residensi Simpang Empat 2 di Alor Setar.

“Projek di Sungai Ular telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 15 Mac lalu bagi unit rumah dan kemudahan dewan, baru-baru ini.

“Cuma Serahan Milikan Kosong (VP) masih belum diberi kepada pembeli kerana hasil tinjauan menemui kerosakan dan kecacatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, kontraktor diminta membaiki kerosakan itu dahulu dan hasil tinjauan terbaharu mendapati kerja kerja pembaikan sedang dijalankan.

“Kita sudah meminta pihak PRIMA supaya menjalankan pemeriksaan yang lebih ketat agar masalah kerosakan ini tidak berulang ketika menyerahkan kunci kepada pembeli,” ujarnya.

Menurutnya, projek di Residensi Simpang Empat 2 di Alor Setar juga mengalami masalah kelewatan.

“Projek ini mempunyai beberapa isu antaranya melibatkan pengambilan tanah laluan masuk ke tapak projek dan pihak PR1MA telah mengambil inisiatif menyelesaikan masalah tersebut,” jelasnya.

Sementara bagi projek di Junjong, cabaran pihak kontraktor penyelamat ialah membaiki kerosakan dan melakukan semula kerja-kerja yang didapati tidak mengikut syarat ditetapkan.

Tambahnya, seramai 499 pembeli Residensi Junjong dan 190 pembeli Residensi Simpang Empat 2 telah menerima pembayaran awal Sebahagian Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (PLAD) bagi mengurangkan beban kewangan akibat kelewatan penyiapan projek.

“Sehingga Jun tahun ini, PR1MA telah menyiapkan sembilan daripada 20 projek sakit di seluruh negara dan kesemua baki projek sakit di bawah PR1MA dijangka disiapkan menjelang akhir tahun depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI