KEMAMAN – Ahli keluarga pengendali jentera berat tidak menyangka kesungguhan lelaki itu membawa isteri dan tujuh anaknya berkelah di Jeram Mawar berakhir dengan tragedi apabila mereka maut dalam tragedi kepala air.
Mangsa, Karim Abdullah, 39, yang berasal dari Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang baru sebulan bekerja mengendalikan jentera berat di sebuah syarikat pembalakan di daerah ini.
Sepupu mangsa, Muhammad Syamsul Musa, 37, berkata, arwah Karim suka memancing di Jeram Mawar yang terletak tidak jauh dari lokasi tempat dia bekerja dan kerap bercerita tentang keindahan kawasan tersebut.
“Cuti Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, dia bersungguh-sungguh mengajak ahli keluarganya untuk berkhemah di kawasan itu,” katanya semalam.
Muhammad Syamsul memberitahu, Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta anak-anak mereka yang berusia empat hingga 18 tahun memasuki Jeram Air Putih dengan menaiki kereta jenis Proton Gen 2 pada pukul 2 petang, Sabtu lalu.
Anak sulung mereka, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, pula menunggang motosikal bersama tunangnya, Muhammad Fikri yang berasal dari Johor.
Sementara itu, bapa Azizah, Eiyi Johari, 60, tergamam sebaik mengetahui mengenai kehilangan sembilan ahli keluarganya secara serentak dalam kejadian bencana alam tersebut.
“Saya reda dengan musibah ini,” katanya sugul ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan pula memberitahu, kesemua 10 mangsa tersebut dipercayai sedang mandi-manda sewaktu fenomena kepala air melanda Jeram Mawar.
“Mereka gagal menyelamatkan diri apabila kawasan jeram itu ditenggelami kepala air setinggi lima meter.
“Kita menemui kereta Proton Gen 2 dan motosikal jenis SYM milik mangsa yang bersalut lumpur di lokasi kejadian,” katanya.
Di Kuantan, Pahang, adik Azizah, Ismail, 36, terselamat dalam kejadian itu selepas menolak ajakan abang iparnya untuk berkhemah kerana mahu berehat di rumah.
“Abang ipar ada ajak saya pergi ke Jeram Mawar, namun saya beritahu ada urusan lain.
“Pada Sabtu (hari kejadian) saya tidak ke mana-mana hanya duduk di rumah. Jika pergi ke sana, mungkin saya turut menjadi mangsa,” katanya.
Menurut Ismail, keluarga itu bertolak ke lokasi kejadian dari Felda Lepar Hilir 3 di sini pada Sabtu lalu untuk memancing dan berkhemah.
“Abang ipar memang sudah biasa dengan kawasan itu kerana bekerja di situ. Tidak sangka kejadian itu berlaku, sudah ketentuan Ilahi,” katanya.