fbpx

Adik jadi wali kakak, rupanya anak angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang wanita tergamam apabila mendapati perkahwinannya selama tiga tahun tidak sah kerana tiada pertalian darah dengan wali.

Menurut perkongsian oleh Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli di laman Facebook, wanita tersebut tidak tahu statusnya sebagai anak angkat sehinggalah dibuktikan dengan ujian pengesahan DNA.

“Wanita tersebut adalah seorang penjawat awam gred 41 yang tinggal di utara semenanjung.

“Perkahwinannya bahagia, tiada apa-apa masalah. Mereka dinikahkan oleh adik lelaki wanita tersebut,” katanya.

Menurut Fahmi, ayah wanita itu sudah lama meninggal dunia, manakala ibunya pula meninggal dunia lima tahun lalu.

“Oleh sebab itu, adiknya menjadi wali pada hari perkahwinan wanita tersebut. Satu hari, adik lelaki wanita ini berjumpa dia sambil memegang sepucuk surat tulisan tangan yang nampak seperti gaya penulisan orang lama.

“Kata wanita itu, surat tersebut menyatakan bahawa ada seorang lelaki bernama Manaf (bukan nama sebenar) menyerahkan bayi perempuan kepada bapanya kerana mereka tidak mampu untuk menjaga ramai anak,” katanya.

Jelas wanita tersebut, selama ini, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana namanya berbintikan arwah bapanya.

“Bagi mendapatkan jawapan, dia pun mengajak adik lelakinya segera ke hospital untuk membuat ujian pengesahan DNA.

“Keputusan DNA mereka negatif. Itulah bukti bahawa mereka berdua tiada pertalian darah,” katanya.

Menurut Fahmi, pernikahan antara wanita tersebut dan suami tersebut disebut Nikah Fasid yang bermaksud pernikahan mereka telah rosak pada syarat sah nikah tersebut.

“Sebabnya, wali pernikahan wanita itu adalah seorang yang tidak mempunyai pertalian darah.

“Hanya adik kandung sahaja yang layak jadi wali,” katanya.

Fahmi berpesan agar keluarga yang mengambil anak angkat bersikap telus dan berterus terang sejak anak kecil untuk mengelakkan masalah sama daripada berlaku.

“Jangan sembunyikan atau cuba nak nasabkan anak yang bukan hak kepada bapa angkat.

“Yang penting, kasih sayang kepada anak angkat itu mestilah tidak berbelah bahagi,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI