RAMALLAH, TEBING BARAT – Tentera Israel melancarkan apa yang disifatkan sebagai salah satu serangan paling buruk dalam tempoh beberapa tahun di kem pelarian Jenin semalam dengan sembilan penduduk Palestin terbunuh manakala 100 lagi cedera, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Serangan awal pagi semalam yang melibatkan dron itu bertujuan untuk menghalang Jenin daripada dijadikan tempat perlindungan bagi para pejuang Palestin, demikian menurut Zionis.
Tidak ada garis masa khusus untuk menamatkan operasi itu tetapi ia mungkin berlanjutan dalam masa beberapa jam atau beberapa hari.
Beratus-ratus askar Israel masih beroperasi di Jenin pada malam semalam, lebih 20 jam selepas operasi tentera Zionis bermula.
Selain bunyi dron, tembakan dan bunyi letupan yang kuat berlaku sepanjang hari dari kem pelarian yang padat penduduk dengan menempatkan kira-kira 18,000 orang dan kini diisytiharkan sebagai zon tentera Israel. – Agensi