BOSTON, Massachusetts – Seorang wanita di negeri Massachusetts menghidap sindrom aneh yang menyaksikan dia alah terhadap teman lelakinya, lapor portal berita Wolipop.
Virginia Nault berkata, wajahnya dipenuhi ruam merah setiap kali dia bertemu lelaki tersebut.
Menurut Virginia, 22, dia dan kekasihnya, Steve Johnson berkenalan menerusi aplikasi ‘dating’ dan menjalin hubungan cinta pada Disember 2022.
Selepas mula bertemu, Virginia mengalami ruam pada seluruh wajah serta tubuhnya. Mata wanita itu juga gatal dan bengkak.
“Ada sesuatu pada dirinya yang membuatkan saya mengalami alergi ini,” kata Virginia seperti dipetik akhbar New York Post.
Virginia pada mulanya menganggap ruam yang dialami merupakan alahan bermusim kerana dia mempunyai sejarah ekzema dan masalah kulit.
Namun, wanita itu kemudian mendapati bahawa semakin banyak waktu dihabiskan bersama Johnson, semakin banyak pula ruam yang muncul pada badannya.
“Apabila saya berada di apartmen Johnson selama beberapa hari, saya akan mengalami ruam yang sangat teruk pada minggu berikutnya. Saya mempunyai alahan terhadap dia,” ujar Virginia.
Tambahnya, meskipun Johnson menukar sabun cuci pakaian, produk kelengkapan mandi dan pewangi, dia masih mengalami keadaan itu.
Ia menguatkan pendapatnya bahawa dia tidak alah pada bahan-bahan tersebut, sebaliknya alah terhadap Johnson.
Sehingga kini, Virginia masih belum mengetahui punca keadaan itu meskipun telah menemui doktor pakar pada Mei lalu.
Namun, dia dan Johnson masih menanti keputusan dua ujian perubatan bagi mengenal pasti punca alahan tersebut. – Agensi