fbpx

Tragedi kepala air: JMG, polis sedang siapkan laporan awal kejadian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi bercakap pada sidang akhbar selepas program Lawatan Kerja Ke Projek Menaik Taraf Sistem Saliran di Taman Wadi Iman, Ketereh hari ini. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Laporan awal mengenai kejadian kepala air melibatkan 10 sekeluarga di Jeram Mawar, Air Puteh dekat Chukai, Terengganu dijangka siap dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sudah melakukan tinjauan awal di lokasi selain polis turut menjalankan siasatan berkaitan insiden itu.

“Jadi, kita tunggu laporan tinjauan awal JMG dan siasatan polis disiapkan terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang penjelasan spesifik berkenaan perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Kerja Ke Projek Menaik Taraf Sistem Saliran di Taman Wadi Iman, Ketereh di sini hari ini.

Nik Nazmi memberitahu, sebarang kaedah yang dilakukan oleh kerajaan termasuk langkah pemasangan penggera di lokasi-lokasi kejadian kepala air juga akan hanya dibuat selepas selesai siasatan dan laporan berkaitan kejadian itu.

Katanya, orang-ramai turut diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali menjalankan aktiviti di kawasan-kawasan rekreasi.

“Aspek keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan oleh semua pihak ketika menjalani aktiviti di kawasan rekreasi bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Pihak berkuasa juga telah banyak mengeluarkan peringatan. Jadi, semua perlu ikut bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau kecelakaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI