BATU PAHAT – Biarpun mustahil, namun abang kepada salah seorang mangsa tragedi kepala air di Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu, semalam berharap adiknya dapat ditemui dalam keadaan selamat.
Demikian luahan rasa Shahrizal Saliman, 40, mengenai nasib adiknya, Muhammad Fikri, 24, yang dikatakan turut bersama ketika kejadian berlaku.
Katanya, kali terakhir mereka bertemu dengan Muhammad Fikri yang juga adik bongsu keluarganya adalah pada hari pertama Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
“Kami mengetahui kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi semalam selepas ditunjukkan kad pengenalannya oleh sepupu yang berada di Pahang.
“Tidak dapat dibayangkan perasaan kerana yakin adik terlibat sama walaupun masih belum tahu nasibnya,”katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Muhammad Fikri merupakan tunang kepada Puteri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18.
Menurut Shahrizal lagi, sebelum bergerak ke Pahang, Muhammad Fikri baru pulih dari demam selain tidak menunjukkan sebarang perubahan namun menyatakan akan pulang ke Batu Pahat pada hari Ahad.
Tambahnya lagi, mereka akan ke Terengganu bersama dengan kariah Masjid Parit Kuda pada petang hari ini bagi membantu usaha mencari adiknya yang masih belum ditemui.
“Kalau adik ditemui selamat dan masih hidup, Alhamdulillah ini rezeki kami, tetapi kalau dia sudah tiada dan meninggal dunia kami kena reda, dia nak pergi dengan cara macam tu,” katanya.-KOSMO! ONLINE