ALOR GAJAH – Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan catuan bekalan air susulan paras air di tiga empangan utama di negeri ini melepasi tahap 90 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, paras semasa air di empangan Durian Tunggal adalah pada 90 peratus, empangan Jus (96 peratus) dan empangan Asahan (93 peratus) mampu bertahan sehingga November.
Menurut beliau, keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dan kerap hujan turut membantu meningkatkan paras air takungan.
“Empangan Durian Tunggal berada pada paras 90 peratus iaitu kira-kira 28,230 juta liter air dan mampu mengharungi fenomena El Nino yang dijangka berakhir pada September.
“Setakat ini kita telah gerakkan tiga pam di Sungai Grisek untuk mengepam 160 juta liter air sehari tapi jika air turun kepada paras 85 peratus, maka kita akan ambil langkah membuka pam keempat,” katanya ketika lawatan kerja di Empangan Durian Tunggal di sini, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Hameed memaklumkan, pelaksanaan ‘no right turn’ atau tidak boleh membelok ke kanan di persimpangan Stadium Hang Jebat telah ditangguhkan untuk kajian semula.
Jelasnya, langkah itu diambil bagi memastikan penyelesaian masalah trafik di lokasi berkenaan tidak akan memberi kesan negatif terhadap kawasan di sekitarnya. – KOSMO! ONLINE