fbpx

Shuib semuka penyebar fitnah Freemason esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB mengesahkan sudah dapat mengesan dan bakal bersemuka dengan penyebar fitnah yang mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dengan dakyah Freemason.

PETALING JAYA – Tidak sampai 24 jam, Shuib mendedahkan telah mengesan dan bakal bersemuka dengan individu yang menabur fitnah mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dengan organisasi Freemason, esok.

Katanya, segala perincian berkenaan perjumpaan yang turut disertai peguamnya serta tindakan susulan hanya dapat didedahkan selepas itu.

“Ya, saya sudah dapat mengesan serta bercakap dengan lelaki terbabit dan kami akan bersemuka esok.

“Buat masa ini itu sahaja yang dapat saya kongsikan. Tunggu esok,” katanya kepada Kosmo! Online.

Awal pagi tadi pelakon, pelawak dan penyampai radio berusia 39 tahun itu berang dengan tuduhan melampau seorang individu di laman sosial.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad menegaskan mahu mencari individu terbabit sampai ke lubang cacing demi mendapatkan keadilan.

Malah dia memaklumkan akan menggunakan saluran undang-undang terhadap penfitnah yang menuduh Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19.

Dalam tulisan itu, individu tersebut turut mendakwa Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.

Petang tadi bapa kepada empat cahaya mata itu turut mendedahkan satu lagi akaun yang turut menyebarkan tuduhan serupa kononnya pemergian arwah mempunyai kaitan dengan organisasi tersebut.

Terdahulu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah pada 2011, namun penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021.

Pada 23 Jun lalu, Shuib menamatkan zaman duda sebaik menikahi ahli perniagaan, Watie Hanifiah, 35. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI