fbpx

Projek Bitara Madani tumpu naik taraf fasiliti kesihatan, medan selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani.

PETALING JAYA – Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) bersetuju supaya Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) melaksana dan memperluaskan Projek Bitara Madani dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MTMM memberi tumpuan kepada dua projek baharu Bitara Madani iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memperluas pelaksanaan Gerai Madani.

“Projek menaik taraf fasiliti, kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran kesemua fasiliti akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir tahun 2023.

“Manakala bagi memperluas pelaksanaan Gerai Madani, kaedah penambahbaikan yang digunapakai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan untuk menaik taraf 20 medan selera di bawah PBT terpilih.

“Tindakan penambahbaikan akan mengubah penampilan dan kemudahan agar lebih bersih dan indah demi keselesaan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, projek-projek Bitara Madani sentiasa mendukung rukun Malaysia Madani dan menggunakan pendekatan “The Whole of Government”.

Menurut beliau, ketua projek adalah terdiri dalam kalangan pegawai kanan perkhidmatan awam di kementerian dan jabatan yang berbeza dengan kementerian dan jabatan yang bertanggungjawab terhadap projek yang dikenal pasti.

Jelas beliau, langkah itu bagi memastikan setiap pelaksanaan projek-projek Bitara Madani dinilai daripada perspektif berbeza dan lebih menyeluruh.

“Dengan tumpuan kepada kos yang rendah, pelaksanaan penyelesaian segera dan penggunaan sumber sedia ada, kesemua projek Bitara Madani selari dengan anjakan reformasi penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, berintegriti dan berkualiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI