GEORGE TOWN – Polis mengingatkan parti-parti politik agar tidak menyentuh aspek 3R iaitu agama (Religion), raja (Royalty) dan bangsa (Race) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana isu-isu sensitif berkaitan aspek 3R boleh mendatangkan ketidakharmonian kepada masyarakat di negara ini dan perkara itu mesti dielakkan.
”Parti-parti politik yang bertanding ini sebenarnya adalah orang lama dan mereka sudah tahu, nasihat saya isu sensitif berkaitan 3R ini jangan disentuh.
”Dalam Perlembagaan Persekutuan kita boleh bersuara tetapi bukan berkaitan isu sensitif yang boleh memecah belahkan masyarakat,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau persiapan PRN Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini malam tadi.
Menurutnya, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati menyentuh aspek 3R itu, pihak polis tanpa ragu akan bertindak menggunakan Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kepada pelaku.
”Pihak polis sendiri mempunyai pegawai perakam dan pegawai zon yang memantau perjalanan kempen dan PRN.
“Mereka berperanan merekodkan serta memantau semua ceramah,jika ada pihak yang didapati menyentuh berhubung 3R, siasatan akan terus dijalankan sama ada oleh Bukit Aman atau kontinjen itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, seramai 40,000 anggota dan pegawai polis akan bertugas sepanjang berlangsungnya PRN di enam buah negeri terbabit.
”Kontinjen Pulau Pinang juga akan menerima bantuan dan sokongan daripada 663 anggota dan pegawai polis sepanjang PRN kelak iaitu dari Bukit Aman serta anggota dari negeri-negeri yang tidak terlibat dengan PRN,” katanya.
Tambahnya, beliau juga menasihatkan kesemua parti politik yang bakal bertanding dalam PRN agar memohon permit ceramah daripada pihak polis dengan lebih awal.
”Kita memang melayan setiap permohonan untuk mendapatkan permit dalam masa 24 jam, namun kita mohon parti politik agar pohonlah permit ini dengan lebih awal untuk mengelakkan berlakunya pertembungan dengan parti-parti lain di satu-satu kawasan,” katanya.
Tambahnya, beliau juga berpuas hati dengan taklimat persediaan PRN yang telah diberikan di peringkat Kontinjen Pulau Pinang.
“Apa yang telah disyorkan, dicadang dan dimohon dari segi bantuan keanggotaan oleh Ketua Polis Pulau Pinang juga sangat ideal, tidak terlampau lebih atau ada kekurangan yang boleh menjejaskan perjalanan PRN,” katanya. – KOSMO! ONLINE