fbpx

Penyerang harga murah buruan Manchester United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HOJLUND menjadi sasaran realistik buat Ten Hag yang merasakan kehadiran penyerang itu mampu menggegarkan Old Trafford meskipun harga murah. – AFP

BERGAMO – Atalanta dilaporkan menolak tawaran pertama Manchester United bernilai £31 juta (RM183.85 juta) untuk menandatangani penyerang me­ningkat naik Denmark, Rasmus Hojlund.

United dikatakan akan menawarkan bidaan kedua berjumlah £39 juta (RM231.30 juta) bagi menyelesaikan urusan perpindahan itu secepat mungkin kerana mahu fokus sepenuhnya kepada persiapan musim depan.

Disebabkan had perbelanjaan terhad, The Red Devils terpaksa melupakan hasrat mendapatkan kapten Tottenham Hotspur, Harry Kane atau penyerang Napoli, Victor Osimhen kerana nilai yang terlalu mahal iaitu £100 juta (RM593.08 juta).

Ia menyebabkan Hojlund, 20, menjadi sasaran realistik buat pengurus United, Erik ten Hag yang tetap merasakan kehadi­rannya mampu menggegarkan Old Trafford walaupun mempunyai nilai pasaran rendah.

Bagaimanapun, United perlu meningkatkan bidaan mereka kerana gergasi Itali, Juventus juga dikatakan memantau perkembangan penyerang yang meledak sembilan gol Serie A bersama Atalanta itu.

Difahamkan, Atalanta tiada masalah menjual Hojlund walaupun pemain itu dibeli dari kelab Austria, Sturm Graz dengan harga £15 juta (RM88.96 juta) pada Ogos tahun lalu.

“Saya gembira dengan Atalanta kerana kami layak ke Eropah. Ini peluang terbaik untuk saya menunjukkan potensi kepada kelab-kelab di luar sana.

“Saya menerima apa jua keputusan kelab kerana saya telah berikan yang terbaik sejak tiba di sini. Saya dapat merasakan sesuatu akan berlaku, kita tunggu dan lihat sahaja,” kata Hojlund.

Seandainya gagal membeli Hojlund, United dikatakan menjadikan penyerang Porto dan Iran, Mehdi Taremi sebagai calon kedua disebabkan harga perpindahan yang lebih rendah iaitu £17.1 juta (RM101.42 juta). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI