fbpx

‘Penduduk lari tinggal barang-barang, selamatkan nyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD ZUL IZZI (kanan) memerhatikan Abd. Latif membersihkan karpet yang terendam air banjir kilat di Bukit Besar, Yan semalam.

YAN – Sepasang suami isteri panik dan hanya memikirkan keselamatan empat anak apabila rumah dimasuki air deras dalam kejadian banjir kilat di Bukit Besar, di sini kelmarin.

Ujar Nur Hashimah Mahmud, 38, kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku ketika dia dan suami, Ismail Osman sedang bersiap untuk ke tempat kerja, manakala anak-anak sedang tidur.

“Air sangat deras dan naik cepat hingga kami tidak sempat mengalihkan barangan elektrik dan perabot. Kami hanya fikirkan untuk selamatkan diri dan anak-anak berusia antara dua hingga 13 tahun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, dia dan suami mengejutkan semua anak dan membawa mereka keluar ke tempat selamat.

“Ketika keluar, air sudah berada pada paras lutut. Banyak barangan dalam rumah rosak te­rendam dalam air,” ujarnya yang merupakan pekedai runcit.

Seorang lagi penduduk, Abd. Latif Mat, 67, berkata, kejadian banjir kilat itu merupakan kali kedua berlaku susulan hujan le­bat selepas waktu subuh.

“Walaupun ia tidak seteruk banjir kilat pada Januari lalu, namun kerugian dialami agak besar kerana melibatkan kerosakan perkakas rumah dan kenderaan.

“Dua buah motosikal dan pe­rabot terendam air dalam keja­dian itu,” katanya.

PENDUDUK menunjukkan kesan paras air yang masuk ke rumah mereka.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia dan isteri, Roshadah Hashim, 70, sedang berehat selepas solat subuh.

“Limpahan air dari tali air di depan rumah terlalu deras dan dalam tempoh tidak sampai 20 minit, rumah kami dimasuki air hampir satu meter.

“Saya dan isteri tidak sempat pindahkan semua barang ke tempat tinggi, sebaliknya bergegas keluar selamatkan diri,” katanya.

Suri rumah, Fatimah Ahmad, 77, berkata, dia panik ketika air memasuki rumahnya pagi kelmarin kerana tinggal berseorangan.

“Dengan keadaan saya yang mengalami pelbagai penyakit menyebabkan saya gagal untuk menyelamatkan perabot dalam rumah,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, semua mangsa telah dibantu pihaknya bersama agensi kerajaan lain.

“Kita telah salur bantuan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah kepada mereka.

“Sebanyak 52 buah rumah penduduk di sekitar Sekolah Menengah Agama Nahdzah dan di kawasan Bukit Besar terkesan akibat kejadian,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI