PETALING JAYA – Pemimpin perlu selalu turun ke bawah dan melihat sendiri apa yang boleh diperbaiki terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam supaya terus berada di tahap yang terbaik dan membanggakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat selaku pemegang taruh sebenar menuntut perubahan sepenuhnya supaya sistem, amalan serta budaya yang bobrok dan menyusahkan tidak lagi dihidangkan kepada mereka.
“Saya tekankan pentingnya untuk kebersamaan dalam mengangkat martabat darjat dan bangsa melalui perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.
“Namun, perkhidmatan yang cemerlang memerlukan masa serta sikap yang istiqamah bagi mengelak imej serta reputasi pentadbiran kerajaan menjadi tempang dan rosak.
“Kepada pihak yang di atas, termasuk diri saya, mesti selalu turun ke bawah dan lihat sendiri apa yang boleh diperbaiki,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. – KOSMO! ONLINE