PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Rabu ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting sempena pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
“SPR ingin memaklumkan bahawa kami telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada speaker masing-masing.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Rabu bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum DUN ke-15.
“Tarikh penting itu melibatkan Writ Pilihan Raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Sehubungan itu, SPR berkata, satu sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat khas tersebut.
Untuk rekod, Kelantan menjadi negeri pertama dibubarkan pada 22 Jun lalu diikuti Selangor sehari selepas itu, manakala tiga DUN dibubarkan pada 28 Jun 2023 iaitu Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah.
Negeri Sembilan pula membubarkan DUN pada 1 Julai sekali gus menjadi negeri terakhir yang berbuat demikian. -KOSMO! ONLINE