fbpx

Menyamar pegawai kanan polis bagi minta sumbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar profil beruniform pegawai kanan polis yang digunakan suspek menipu mangsa.

BENTONG – Pelbagai cara digunakan ‘scammer’ bagi memperdaya mangsa dengan terbaharu suspek bertindak menyamar sebagai pegawai kanan polis bagi memohon sumbangan awam untuk program-program yang melibatkan Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong.

Malah bagi meyakinkan mangsa yang terdiri daripada ahli perniagaan, suspek juga turut menggunakan gambar profil yang beruniform pegawai kanan polis.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihak polis menerima laporan berkaitan kes itu semalam yang mana suspek menyasarkan ahli-ahli perniagaan di daerah ini.

“Polis menerima laporan berkaitan panggilan telefon dan hantaran WhatsApp dari seorang lelaki yang menyamar sebagai ‘Tuan Nik’ atau ‘Tuan Syukri’ yang menggunakan nombor telefon 0195673346 dan 01172394318.

“Orang ramai diminta berwaspada terhadap panggilan telefon palsu individu yang menyamar sebagai pegawai kanan polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong susulan wujudnya kejadian menyamar sebagai pegawai polis IPD Bentong dengan niat menipu,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, suspek menggunakan akaun di dua buah bank untuk memohon sumbangan daripada orang awam untuk program-program melibatkan IPD Bentong.

Menurut Zaiham, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan bagi mengesan suspek.

Katanya, pihak polis meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam kes ini agar tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“Pihak polis juga memohon kerjasama orang ramai sekiranya menerima panggilan telefon atau mesej menerusi WhatsApp bagi tujuan mengutip derma untuk IPD Bentong agar segera menghubungi pusat kawalan daerah IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai yang menerima panggilan palsu atau pun hantaran WhatsApp diingatkan agar tidak terpedaya dengan panggilan sedemikan yang cuba menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI