fbpx

Mahkamah: Wang RM114 juta bukan milik saya, tapi UMNO – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan beliau hanya mendedahkan sebahagian asetnya berhubung perintah injunksi mareva (larangan melupuskan harta) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lalu.

Melalui afidavit jawapannya terhadap permohonan injunksi mareva oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang difailkan pada 28 Jun lalu, Najib berkata wang RM114 juta yang dilaporkan dikembalikan kepadanya bukan sebahagian daripada aset beliau.

“Ini kerana pada setiap masa, jumlah RM114 juta itu dipegang secara amanah oleh saya bagi pihak UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang baru selesai beberapa hari sebelum serbuan di apartmen saya.

“Sebagai presiden UMNO, saya diamanahkan dengan dana berkenaan bagi tujuan pilihan raya, tetapi wang terbabit tidak menjadi milik saya. Oleh itu, segala dakwaan tidak menzahirkan harta seperti yang didakwa dinafikan sekeras- kerasnya,” katanya.

Najib berkata, alasan RM114 juta itu pada awalnya dikembalikan kepadanya adalah kerana ia di dalam satu prosiding perlucutan hak harta yang dimulakan oleh Pendakwa Raya dan selepas ia (permohonan) ditolak, tiada perintah dibuat mengenai ke mana wang harus dikembalikan.

Sebelum ini, Pengerusi 1MDB Datuk Johan Mahmood menerusi afidavit tambahan dalam kes saman difailkan syarikat itu dan anak syarikat mendakwa, Najib hanya mendedahkan sebahagian asetnya dari tahun 2011 hingga 2020, dan tiada maklumat dibuat mengenai asetnya dari 2021 hingga 14 Mac lalu.

Pada Mei tahun lalu, kerajaan gagal dalam permohonannya untuk melucut hak wang tunai yang didakwa milik Najib dan UMNO berjumlah RM114 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon dalam pelucuthakan kes itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI