KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Julai ini bagi pengurusan kes lanjut berhubung rayuan pelakon Amelia Henderson yang diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.
Perkara itu disahkan peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia ketika dihubungi selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Rozana Husin hari ini.
Menurut peguam itu, tarikh pengurusan kes lanjut diberikan berikutan keseluruhan alasan penghakiman masih belum siap.
Sementara itu, peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu ketika dihubungi turut mengesahkan perkara sama.
Sebelum ini, Amelia telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd.
Pada 7 April lalu, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28 diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd.
Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
“Dengan perkataan lain, hanya satu pilihan pada defendan iaitu tunaikan kontrak yang ditandatangani. Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah berpuas hati plaintif (syarikat produksi A.Aida) berjaya membuktikan tuntutan,” kata hakim itu ketika membaca keputusannya pada prosiding lalu.
Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu “Aira” yang mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.
Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5% kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.
Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A.Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.
Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A.Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.
Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.
Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE