KUALA NERUS – Jaringan tunggal Engku Nur Shakir Engku Yaacob memadai buat Terengganu FC (TFC) menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam ini.
Kemenangan tipis 1-0 itu turut membantu TFC naik satu anak tangga dalam Liga Super ke kedudukan ketujuh dengan mengumpul 23 mata manakala KDA dengan 28 mata di kedudukan keempat.
Awal saingan memihak TFC menyaksikan sepakan gunting Adisak Kraisorn minit kesembilan berpunca hantaran Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim tersasar dari sasaran.
Tiga minit kemudian bola tolakan Adisak hasil umpanan Azam Azmi Murad berjaya menerjah jaring namun penyerang Thailand itu terlebih dahulu dalam kedudukan ofsaid.
KDA cuba mengatur gerak melalui percubaan berturut-turut Manuel Hidalgo dan Amirbek Juraboev jarak jauh minit ke-14 tinggi melepasi pintu gol TFC yang dikawal Mohd. Suhaimi Husin.
Kedudukan hanya berubah minit ke-16 setelah larian solo Azam Azmi disambung Engku Nur Shakir yang melakukan sepakan dari luar kotak untuk gol pembukaan.
Jaringan itu menyuntik semangat skuad Penyu yang hampir melebarkan jaringan menerusi gerakan satu dua Sony Norde dan Habib Haroon tetapi rembatan derasnya sedikit melencong.
Kedua-dua pasukan memiliki peluang menuju rehat malangnya percubaan Nik Sharif (m-37) dan bek kanan KDA, Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman (m-44) menggegar tiang.
Aksi babak kedua bersambung dengan Nik Sharif Haseefy mensia-siakan peluang satu lawan satu berpunca umpanan menarik pemain gantian, Muhammad Syahmi Zamri minit ke-54.
KDA yang beraksi tanpa perancang tengah, Manuel Ott dan Lee Tuck serta pengendali, Nafuzi Zain di bangku simpanan tampak hilang bisa selepas gagal menembusi kubu TFC.
TFC sebaliknya nyaris memperoleh gol kedua namun bola tolakan Alif Zakaria minit ke-81 dikeluarkan Bojan Ciger di atas garisan gol sebelum tindakan susulannya ditepis penjaga gol.
Keampuhan mempertahankan kelebihan satu gol membolehkan TFC menamatkan aksi dengan tiga mata penuh sehingga wisel ditiup pengadil Mohamad Zamzaidi Katimin. – KOSMO! ONLINE.