PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC mengekalkan status selaku pencabar utama saingan Liga Super apabila meraih kemenangan berharga selepas menewaskan Kuching City 2-1 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Tan Cheng Hoe membuat rombakan dalam kesebelasan utama khususnya bahagian benteng dengan membariskan pemain seperti Samuel Somerville, Alex Aftarjwa dab Ahmad Zikri Khalili.
Skuad Gergasi Merah berada di depan menerusi ledakan Ayron del Valle yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26 sekali gus menjadi jaringan ke-14 penyerang dari Colombia itu dalam saingan liga musim ini.
Perancang tengah dari Venezuela, Yohandry Orozco kemudian menggandakan kelebihan apabila mudah menyudahkan umpanan Faisal Halim pada awal babak kedua.
Kuching City berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Amir Amri Salleh pada minit ke-89 tetapi sudah terlewa untuk mencuri sekurangnya satu mata berharga
Kemenangan diraih Gergasi Merah terutama selepas dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA minggu lalu.
Kemenangan ke-11 daripada 15 perlawanan itu menyaksikan Selangor mengumpul 34 mata untuk terus berada di kedudukan kedua musim ini. – KOSMO! ONLINE