TAMPIN – Seorang lelaki yang dilaporkan tidak serik-serik memukul isterinya buat kali kedua akhirnya dijatuhkan hukuman penjara setahun dari tarikh ditangkap dan denda sebanyak RM1,000 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, S Ragubalan, 46, mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
Majistret turut menetapkan tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran berkenaan.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menumbuk muka dan menghantuk kepala isterinya yang berusia 41 tahun ke lantai sehingga menyebabkan mangsa cedera di bahagian muka dan dahi, bengkak belakang kepala serta mengalami sakit tengkuk.
Kesalahan dilakukan pada 24 April lalu kira-kira pukul 9.15 pagi di Taman Molek, Gemas.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng dalam hujahannya menyatakan tertuduh melakukan kesalahan yang sama terhadap mangsa yang sama iaitu isteri tertuduh pada tahun lepas dan dijatuh hukum oleh mahkamah pada bulan Nov tahun 2022 dan dikenakan hukuman denda RM1,500 serta sehari penjara untuk kes tersebut.
“Memandangkan tertuduh melakukan kesalahan yang sama lagi terhadap mangsa yang sama, ia menunjukkan hukuman sehari penjara adalah tidak cukup untuk memberi pengajaran setimpal terhadap tertuduh.
Tsu Sheng memohon hukuman penjara yang lebih panjang sebagai pengajaran yang setimpal kepada tertuduh dan kepada masyarakat secara am mengambil kira kes-kes keganasan rumah tangga yang semakin meningkat.
Tertuduh bagaimanapun dalam rayuannya menyatakan dia menanggung lima orang anak dan menghidap penyakit kencing manis serta baru menjalani pembedahan kaki di hospital. – KOSMO! ONLINE