ADA sebab tersendiri mengapa sukan hoki tersenarai dalam program Road to Gold (RTG) bagi memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis bermula 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.
Kini giliran Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib tampil menjelaskan mengapa Jawatankuasa RTG memutuskan menyenaraikan pasukan hoki lelaki negara dalam program elit tersebut.
Menurutnya, hoki memainkan peranan penting memastikan kontinjen negara menjadi lebih besar di Olimpik, sekali gus mampu membantu atlet-atlet lain dalam usaha merealisasikan impian memenangi pingat emas pertama.
“Penyertaan hoki adalah harapan untuk kita lihat Malaysia menjadi kontinjen yang besar dalam Olimpik. Selalunya kita ada 20 lebih (atlet) tetapi dengan hoki, kalau mereka masuk, kita boleh cecah kontinjen 50 orang.
“Itu adalah satu langkah yang besar, menjadi kelebihan dan fasiliti akan bertambah. Itu akan membantu atlet dan ia salah satu faktor kita masukkan hoki dalam RTG.
“Kita tahu ia kekangan yang besar tetapi akan (memberikan) impak kepada semua atlet dalam RTG,” katanya kepada pemberita selepas Kongress Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Hilton Petaling Jaya kelmarin.
Jawatankuasa RTG sebelum ini menegaskan, penyenaraian hoki bukan ‘tangkap muat’ kerana merasakan ia mampu membantu The Speedy Tigers layak ke Paris 2024 menerusi slot Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan.
Selain itu, The Speedy Tigers juga memenuhi salah satu kriteria ditetapkan dalam program RTG iaitu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia meskipun peluang untuk membawa pulang pingat emas Olimpik Paris 2024 dianggap tipis.