fbpx

Hampir semua permintaan Azizulhasni dipenuhi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI berjaya meraih pingat emas dalam acara pecut dan keirin pada ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai di Negeri Sembilan bulan lepas.

JAGUH berbasikal No.1 negara, Datuk Azizulhasni Awang kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam misi melayakkan diri pada Sukan Olimpik memandangkan hampir semua permintaan bagi melonjakkan prestasinya ke Paris 2024 akan dipenuhi.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib berkata, pihaknya bersedia membantu pelumba berusia 35 tahun itu terutama sokongan dari aspek sains sukan.

“Kita bersama Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin telah membincangkan mengenai Azizulhasni kerana beliau mempunyai harapan besar di Paris kelak.

“Kita tahu ini peluang ter­akhirnya dan apa yang dibangkitkan oleh beliau, kita cuba bantu dari segi ISN (Institut Sukan Negara). Kami beri tumpuan penuh kepada Azizulhasni dengan harapan beliau akan membawa pingat tertinggi, kami harap emas.

“Tapi kita tidak mahu memberi tekanan, kita akan beri sokongan penuh dan paling penting beliau berada pada tahap terbaik untuk Paris nanti. Kebanyakan isu adalah mengenai sokongan sampingan dari segi perkhidmatan ISN.

“Seperti sedia maklum dalam RTG, kita hanya menawarkan khidmat sokongan, apa yang kurang kita akan cuba penuhi. Kita tidak mempunyai masa yang panjang untuk Paris ini, jadi kita akan buat yang terbaik untuknya,” kata Nazifuddin.

Terdahulu, Azizulhasni meluahkan kekecewaannya terutama melibatkan sistem sokongan sukan di Malaysia yang didakwa ‘perlahan’ hingga menjejaskan persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman membuktikan beliau berhak untuk mendapat semua keistimewaan dalam program elit sukan negara, RTG selepas menoktahkan kemenangan dengan meraih emas dalam acara pecut dan keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) baru-baru ini.

Berdasarkan kemas kini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), pelumba berusia 35 tahun itu kini berada di kedudukan ketiga dalam acara keirin, sekali gus melonjak tujuh anak tangga. Dalam acara pecut individu pula, beliau berada di tempat keenam, melonjak 13 anak tangga.

Susulan itu, Jawatankuasa RTG mengambil langkah drastik dengan ‘meluluskan’ permintaan pelumba negara sebelum ini bagi memastikan prospek pingat pada Sukan Olimpik mendapat segala apa yang diperlukan untuk beraksi di tahap tertinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI