fbpx

Guru wanita rugi RM112,000 diperdaya Phone Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SIBU – Seorang guru wanita di sini mengalami kerugian sebanyak RM112,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon, kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, pada awal Jun lalu, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai John Jonathan dari pihak Pos Laju Kuala Lumpur dan memaklumkan terdapat barang milik mangsa yang belum dituntut untuk dihantar ke Miri.

Menurutnya, mangsa seterusnya diberitahu isi kandungan barang pos berkenaan yang mengandungi kad pengenalan dan kad kredit Maybank miliknya, namun mangsa menafikan tentang urusan barang itu dan memaklumkan tiada membuat sebarang penghantaran barang seperti yang dimaklumkan kepadanya.

Mohd. Azman berkata, suspek kemudian meminta mangsa membuat aduan dengan pihak polis dan talian telah disambungkan kepada seorang lelaki berpangkat Sarjan dari IPK Perlis dan Inspektor Syafiq, kononnya untuk membuat semakan dengan pihak Bukit Aman.

“Mangsa diberitahu namanya terlibat dalam kes penggubahan wang haram, dan mangsa yang panik serta takut telah menuruti segala arahan suspek untuk tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa serta turut diarahkan untuk membuat pinjaman wang di bank,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada pertengahan Jun, mangsa pergi membuat pinjaman sebanyak RM125,000 di sebuah bank di Sibu dan seterusnya diminta memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia di pautan yang diberikan (http:/608888.ORG/815092) serta mengisi maklumat peribadi, perbankan, ID dan kata laluan.

Katanya, mangsa dimaklumkan pautan berkenaan perlu diisi untuk semakan status wang dalam akaun sama ada terlibat dalam kegiatan jenayah.

Mohd. Azman berkata, selepas empat hari, mangsa kemudian diminta membuat pemindahan wang sebanyak RM3,000 kepada juruaudit yang bernama Muhammad Izzat Danial kononnya untuk bayaran urusan keselamatan akaun.

Katanya, mangsa kemudian memasukkan wang ke satu akaun bank yang diberikan suspek, namun apabila menyemak wang dalam akaunnya mendapati wang berkurangan sebanyak RM112,000.

“Semakan lanjut mendapati ada lima kali transaksi pindahan wang berlaku ke akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa kemudian menyedari ditipu setelah cuba menghubungi Inspektor Syafiq namun gagal dan talian turut disekat, sebelum tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI