MEKAH – Jemaah haji dinasihatkan menjaga nama baik Tabung Haji (TH) dengan mematuhi peraturan ditetapkan Arab Saudi supaya tidak membawa balik barangan dilarang dan berbahaya terutama air zamzam ke Malaysia ketika proses penerbangan pulang.
Pegawai Operasi Maktab, Mohd. Sawal Abong berkata, Arab Saudi mempunyai mesin pengimbas terbaik di dunia yang dapat mengesan sekiranya terdapat cubaan menyembunyikan air zamzam di dalam bagasi.
Katanya, pelbagai taktik dikesan sebelum ini digunakan jemaah seperti membalutnya dengan kertas aluminium, baju dan lain-lain dan ia tidak pernah berjaya.
“Antara sebab dilarang ialah berkaitan dengan keselamatan. Kita akan membekalkan setiap jemaah dengan lima liter air zamzam apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jadi jangan risau.
“Larangan ini telah diaktifkan sejak sekian lama dan syarikat penerbangan akan didenda sekiranya pihak Arab Saudi menemui air itu di dalam bagasi. Oleh itu, jemaah perlu ikut peraturan dan menjaga nama baik TH,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mohd. Sawal, jika ada air zamzam, pihak berkuasa akan memotong kunci bagasi untuk mengeluarkannya.
Terdahulu, Mohd. Sawal memantau proses penghantaran bagasi 284 jemaah KT01 di Abraj Al-Janadriyah di sini yang akan pulang dengan menaiki penerbangan pertama ke KLIA pada pukul 7.15 pagi Khamis ini.
Katanya, setiap jemaah hanya dibenarkan membawa bagasi tidak melebihi 30 kilogram termasuk kerusi roda, tongkat dan kerusi duduk.
Menurut Sawal, bagasi itu boleh dituntut di KLIA atau di lapangan terbang negeri masing-masing seperti Pulau Pinang, Kedah, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Jemaah akan menaiki pesawat Malaysia Aviation Group (MAG) dan Saudi.
“Penghantaran pulang akan dilakukan secara berterusan sehingga 16 Julai ini melibatkan 49 penerbangan dari Jeddah. Jemaah di Madinah akan pulang dari sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE