fbpx

Bantu Azeem layak ke Sukan Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

TIADA kerugian jika menyenaraikan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi dalam program Road To Gold (RTG) supaya memberikan inspirasi kepadanya untuk layak automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

RTG adalah satu program sukan berprestasi tinggi negara yang diwujudkan sejak Mac lalu sebagai platform untuk mempersiapkan atlet memburu kilauan pingat emas pada Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Bagaimanapun, keputusan RTG bulan lalu menimbulkan pelbagai reaksi apabila mema­sukkan dua wakil badminton, pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam program tersebut.

Lebih mengejutkan apabila Jawatankuasa RTG turut menyenaraikan hoki ke dalam program elit itu bertujuan membantu Speedy Tigers merebut tiket Pa­ris 2024 menerusi slot Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan.

Alang-alang ‘kelonggaran’ diberikan kepada hoki dan dua wakil badminton, tiada salahnya jika nama bintang pecut negara berusia 19 tahun itu juga tersenarai.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yang beraksi acara 200m pada Olimpik Athens 2004 di Greece berpendapat, bakat dimiliki Azeem sesuatu yang jarang ditemui dan perlu diberi bantuan secukupnya.

“Setiap penilaian sukan berbeza macam olahraga. Untuk dapat pelari berpotensi seperti Azeem adalah sangat jarang, mungkin 10 atau 15 tahun baru ada seorang.

“Kalau kita tidak bantu, maknanya peluang dia adalah kosong tetapi sebaliknya mungkin peluang itu sudah menjadi 50 atau 60 peratus,” ujarnya.

Ini pasti membakar semangat Azeem untuk layak ke Paris 2024 dan menamatkan penantian 23 tahun melihat wakil negara be­rentap acara 100m selepas Watson Nyambek pada edisi Sydney 2000 di Australia.

Perlu diingat, Azeem memegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s), kurang 0.09s sahaja lagi untuk mencapai had kelayakan 10s yang ditetapkan untuk layak merit ke Paris 2024.

Menariknya, jika Azeem merekodkan catatan masa 10s, pelajar Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat itu turut layak ke Kejohanan Dunia 2023 yang akan berlangsung di Budapest, Hungary pada Ogos depan.

Seandainya atlet dari Teluk Intan, Perak itu dapat merakam masa bawah 10s, ia turut menjadikannya pelari dari Asia Tenggara pertama mencipta sejarah hebat tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditemui penulis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur minggu lalu, tidak menolak kemungkinan Azeem dan atlet-atlet lain berpotensi tersenarai dalam RTG.

“Semua atlet mempunyai tekad untuk menang, cemerlang dan bekerja keras untuk ini (RTG) apabila layak ke peringkat seterusnya. Saya pasti RTG bukan sahaja untuk Paris, tetapi untuk dua kitaran (Los Angeles 2028).

“Kita akan pantau dari semasa ke semasa. Tiga bulan sekali kita akan tengok ranking,” katanya.

Realistiknya, peluang Azeem untuk menaiki podium di Paris 2024 adalah mustahil apatah lagi mengimpikan sesuatu lebih tinggi seperti meraih pingat emas.

Namun, kenyataan ‘dua kitaran’ daripada Hannah membuktikan Azeem sebenarnya layak diberi peluang kerana usianya baru 20 tahun jika layak ke Paris 2024 dan 25 tahun di Los Angeles 2028. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI