SUNGAI PETANI – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta insiden seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang didakwa cuba menghalang pelawat memasuki pejabatnya di Pulau Pinang tidak diperbesarkan.
Kata beliau, ia adalah kes terpencil dan Rela akan menggunakan mekanisme dalaman untuk menambah baik perkara tersebut.
“Saya tak memilih untuk memperbesarkan (kejadian) dan berlaku adil kepada ribuan lagi anggota Rela yang bertugas mengawal premis kerajaan, tak ada masalah.
“Kita ada mekanisme dalaman yang akan ditentukan oleh kepimpinan Rela (untuk menyelesaikan perkara itu),” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden berkenaan.
Saifuddin berkata demikian pada sidang akhbar pada Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-51 peringkat Kebangsaan di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara di Bukit Selambau, dekat sini hari ini.
Akhbar ini pada 30 Jun lalu melaporkan seorang anggota Rela disiasat ekoran didakwa menghalang seorang wanita daripada memasuki pejabat kerana memakai skirt pada paras lutut.
Insiden tersebut dipercayai berlaku di sebuah pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Jalan Burma, George Town, Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE