PETALING JAYA- Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa kecewa terpaksa mengeluarkan belanja lebih ketika berada di Al Aziziyah baru-baru ini.
Menerusi rakaman yang dimuat naik olehnya di TikTok Abang Terlajak Laris, Aliff Syukri berkata, harga yang ditawarkan di sana tidak masuk akal dan mahal.
“Saya takut, saya bukan tidak mampu, tetapi harga di sini terlalu mahal. Kalau tidak bawa duit lebih, kasihan orang yang pergi haji. Saya yang senang ini pun terasa mahal, apa lagi anda.
“Hendak beli makanan tetapi kedai di sini banyak tak ada, susah hendak cari. Kalau ada pun harga mencekik. Kit Kat, empat biji timun kecil dan enam buah mangga, jumlah semuanya hampir RM70. Mahal ya!,” katanya.
Aliff mengakui perbelanjaannya di sana dilihat sangat tinggi.
“Di sini barang hampir mahal dari biasa. Dulu saya bawa duit poket RM1,000 terasa besar sangat sekarang macam RM150 sahaja. Disebabkan mata wang kita amat lemah hendak beli apa pun terasa.
“Paling terasa apabila membeli barangan runcit di sini terutama barangan basah seperti ikan, tepung dan biskut. Saya pula jenis Melayu tak nak makan makanan Arab, kenalah masak sendiri. Banyak peniaga-peniaga di sini menaikkan harga tiga hingga lima kali ganda,” katanya.
Tambahnya, tambang menaiki teksi juga agak mahal, sungguhpun jarak perjalanan hanya lah sekitar lima kilometer sahaja.
“Biasanya saya naik teksi hanya 10 Riyal (RM12.45) sahaja. Di musim haji mereka kenakan sehingga 200 Riyal (RM248.92), mahal sangat. Padahal perjalanan kami tidak lebih daripada lima kilometer,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai bersetuju harga barangan di Al Aziziyah mahal.
“Betul, makanan dekat sana mahal. Masa saya pergi umrah pun, terpaksa bawa barangan sendiri dari sini seperti Maggi, biskut, Milo dan sebagainya,” komen Khadija.
“Datuk yang kaya raya pun sudah terasa mahal tahap gaban. Apa lagi orang biasa-biasa macam kami. Terima kasih datuk sebab bagitahu untuk sediakan duit lebih,” kata Farhana.
“Terima kasih info datuk, patutlah orang pergi Mekah beli siap-siap makanan segera bawa sana, mahal rupanya,” kata Lara.-KOSMO! ONLINE