fbpx

Adam tewaskan kembarnya, Simon pada pembukaan TdF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM meraikan kemenangan sebaik melintasi garisan penamat pada peringkat pertama TdF sejauh 182km dengan saingan bermula di Bilbao,Sepanyol semalam. – AFP

BILBAO, Sepanyol – Pasangan kembar mencuri tumpuan dalam aksi pembukaan Tour de France (TdF) apabila menamatkan saingan itu dengan kemenangan 1-2 menerusi pelumba Team UAE Team Emirates, Adam Yates dan juga Simon Yates dari pasukan Jayco-AlUla.

Pada perlumbaan sejauh 182 kilometer (km) tersebut, Adam berjaya melepasi garisan penamat dengan catatan empat jam 22.49 saat (s) untuk menyarung jersi kuning selepas mengatasi kembarnya, Simon dengan perbezaan 0.04s.

Manakala rakan sepasukan Adam, Tadej Pogacar turut cemerlang apabila menamatkan perlumbaan tempat ketiga, sekali gus meraih bonus masa empat saat dalam pertarungannya dengan juara bertahan, Jonas Vingegaard yang mengakhiri perlumbaan di tempat kesembilan keseluruhan.

“Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang hendak saya katakan. Saya sangat gembira. Kami menyediakan pendakian untuk Pogacar dan kemudian dia me­lakukan kayuhan.

Kemudian saya melakukan serangan dari belakang dan terserempak dengan abang saya.

“Pada mulanya, saya tidak tahu sama ada saya perlu bekerjasama dengannya atau tidak. Jadi, saya bertanya menerusi radio dan pa­sukan menyuruh saya pergi. Saya tahu Simon dengan baik kerana kerana kami amat rapat.

“Untuk berkongsi pengalaman ini dengannya sangat bagus. Saya pernah memiliki jersi ku­ning pada tahun 2020, dan ketika itu ia adalah saat yang istimewa. Tetapi setakat ini saya hanya mahu kekal dengan pendirian merendah diri. Pogacar adalah bos ketika ini.

“Dia membuktikan bahawa dia pernah menjadi yang terbaik di dunia. Dalam tempoh tiga minggu akan datang, dia akan menunjukkannya lagi. Saya bukan ketua pasukan, sebaliknya pelumba sokongan untuk Pogacar. Kami akan melakukan terbaik dan be­kerjasama dalam salah satu pa­sukan,” kata Adam.

Juara 2019, Egan Bernal ketinggalan 20 saat di belakang Pogacar dan Vingegaard. Pusingan kedua akan berlangsung hari ini bermula dari Vitoria-Gasteiz dan berakhir di Saint-Sebastien dengan meliputi perlumbaan sejauh 208.9km. Pusingan ketiga esok pula akan meliputi perlumbaan sejauh 193.5km dari Amorebieta-Etxano ke Bayonne. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI