fbpx

4,169 bomba siap siaga hadapi fenomena angin baratan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Izram menunjukkan sebahagian dokumen mengenai persiapan JBPM dalam mendepani fenomena angin baratan yang melanda negara sejak beberapa hari lalu.

SEBERANG PERAI – Seramai 4,169 anggota bomba membabitkan lima negeri diarah bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan bagi menghadapi fenomena angin baratan yang mula melanda negara sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, kesiapsiagaan itu termasuk dari segi kelengkapan serta kemudahan logistik untuk kerja-kerja penyelamatan sekiranya berlaku sebarang kejadian atau insiden di luar dugaan.

Beliau berkata, antara kelengkapan dan kemudahan logistik yang akan digunakan itu termasuk ‘fire rescue tender’, utiliti, pengangkutan udara yang berkaitan serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan atau EMRS.

“Anggota yang terlibat adalah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. Kita juga berkolaborasi dengan beberapa agensi lain seperti MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) untuk mendapatkan data berkaitan.

“Pemantauan banjir kilat, tanah runtuh, pokok tumbang dan sebagainya pula dilakukan dengan kerjasama PBT (pihak berkuasa tempatan). Begitu juga dengan kerja-kerja menyelamat yang akan dilakukan bersama agensi penyelamatan yang lain.

“Itu antara persediaan kita dan kita juga bersedia sekiranya operasi ini bersambung-sambung (daripada angin baratan kepada monsun timur laut dan lain-lain),” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat bersama Penolong Pengarah Operasi seluruh negara di Hotel The Light Seberang Jaya, di sini petang tadi.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan bahawa negeri-negeri di utara Semenanjung termasuk kawasan perairan negeri dijangka mengalami angin baratan yang bertiup kencang dari 1 hingga 5 Julai ini.

Situasi itu berpotensi menyebabkan berlakunya ribut petir dan hujan lebat beserta angin kencang di negeri-negeri berkenaan selain Kelantan dan Terengganu yang dijangka turut terkesan akibat fenomena yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI