PETALING JAYA – Sebuah keluarga terpaksa meredah hutan gara-gara menggunakan jalan pintas menerusi aplikasi ‘Waze’ ketika pulang ke kampung bagi menyambut perayaan Aidiladha baru-baru ini.
Menerusi perkongsian klip video di media sosial rozlynrozular, beberapa kenderaan lain turut dilihat menggunakan laluan tersebut sebagai jalan alternatif bagi mengelak kesesakan.
Bagaimanapun, tindakan tersebut yang disangka memudahkan perjalanan disifatkan tidak membantu apabila laluan itu dilihat agak sempit serta dikelilingi dengan semak samun.
Menurut rozlynrozular, dia sekeluarga terpaksa mengharungi perkara itu selepas menempuh perjalanan selama 11 jam dari Sungai Buloh ke Machang, Kelantan.
“Pedih seorang perantau setiap kali balik raya. Sungai Buloh Ke Machang dari pukul 4 pagi sehingga 3 petang. Jalan pintas apa yang ‘Waze’ beri?,” katanya di ruangan kapsyen video.
Sehubungan itu, rata-rata ramai berkongsi nasib yang sama ketika cuba menggunakan jalan pintas yang diberi alat navigasi berkenaan.
“Tadi saya pun lalu kebun getah dalam perjalanan balik kampung dari Pasir Puteh, Kelantan ke Perak,” kata Sahara.
“Guna ‘Google Map’ , dia bagi jalan yang ada trafik dan selalu kereta guna. Guna ‘Waze’ memang jalan macam ini lah dapat,” ujar Riza.
“Aku pernah kena benda yang sama. Dia suruh aku seberang sungai sebagai jalan pintas. Memang gila,” luah Sharimah. – KOSMO! ONLINE
@rozlynrozularPedih seorang perantau setiap kali balik raya 🥹♬ Loh Eh Eh Kocak – Ari Rubiyanto