fbpx

Pengundi enam negeri perlu contohi rakyat Sarawak pilih kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid bersama-sama Presiden PRS, Datuk Joseph Salang (lima kiri) dan pemimpin-pemimpin PRS melakukan simbolik 'Ngiling Tikai' dalam majlis yang diadakan di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.

SRI AMAN – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu pengundi di enam negeri di Semenanjung yang akan keluar mengundi tidak lama lagi mencontohi rakyat Sarawak dalam memilih kerajaan negeri yang menyokong kestabilan politik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu harus belajar daripada Sarawak, dengan memilih parti politik yang akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi pembangunan dan kemajuan.

“Kestabilan politik Sarawak harus dicontohi oleh enam negeri di Semenanjung yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, supaya mereka akan melihat lebih banyak projek pembangunan untuk negeri masing-masing.

“Lebih penting, kebajikan dan kepentingan rakyat tidak harus dikorbankan melalui politik. Politik adalah perkara yang serius kerana ia mengenai cara menyelesaikan masalah rakyat dan bagaimana kebajikan mereka dititikberatkan serta bagaimana untuk membawa pembangunan untuk mereka, ” katanya pada majlis sambutan ‘Ngiling Tikai’ Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Dewan Suarah di sini, hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyifatkan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menunjukkan contoh dalam memastikan kestabilan politik terpelihara demi melihat Sarawak yang lebih makmur dan progresif.

Katanya, selain menyatukan semua parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), Premier Sarawak itu juga bekerjasama rapat dengan Kerajaan Perpaduan.

“Kami mahu melihat kestabilan politik berterusan di Sarawak, dan begitu juga GRS (Gabungan Rakyat Sabah) di Sabah.

“Kami telah mengalami kemelut politik sebelum ini dan menyedari bahawa kestabilan politik adalah penting untuk memastikan kemajuan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden UMNO itu menyeru sokongan daripada semua rakyat untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memajukan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI