JOHOR BAHRU – Penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak menerima inisiatif eBelia Rahmah kerana mereka sudah menerima elaun sebanyak RM450 sebulan.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan tidak pernah ‘menganak tirikan’ golongan penuntut tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta ahli politik menyemak fakta berhubung elaun pelajar IPG sebelum membuat sebarang tuduhan.
“Pelajar IPG tidak dapat kemudahan ini (eBelia Rahmah) kerana mereka diberikan elaun RM450 sebulan. Ia adalah elaun yang sebelum ini sudah diberikan ketika kerajaan sebelum ini, maka ia diteruskan.
“Pelajar yang berada di universiti lain pula tidak dapat kemudahan RM450 sebulan ini, maka sebab itu mereka diberikan bantuan RM200.
“Saya harap ahli politik berkenaan menyemak fakta kerana pelajar IPG, mereka dapat lebih daripada yang lain melalui elaun yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor, di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai eBelia Rahmah, Ahmad memaklumkan seramai dua juta belia berusia antara 18 hingga 20 tahun dan penuntut sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) layak menerima kredit berjumlah RM200 melalui tiga platform e-Dompet mulai 26 Jun lalu.
Katanya, inisiatif eBelia Rahmah yang diumumkan bawah Belanjawan 2023 bertujuan memupuk budaya tanpa tunai dalam kalangan generasi muda di samping menyokong pertumbuhan ekonomi perusahan mikro, kecil dan sederhana.
Sebelum ini, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoal mengapa pelajar IPG dianaktirikan daripada mendapat manfaat inisiatif eBelia Rahmah. – KOSMO! ONLINE