fbpx

PDRM terima 14 laporan penipuan eBelia Rahmah, kerugian RM2,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 14 laporan berkaitan program eBelia Rahmah membabitkan kerugian berjumlah RM2,800.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia berikutan kemunculan sindiket menawarkan perkhidmatan memindahkan wang dari akaun e-dompet kepada akaun bank mangsa.

Katanya, mangsa telah menghubungi suspek selepas melihat tawaran tersebut menerusi media sosial iaitu TikTok dan Facebook.

“Suspek kemudian meminta mangsa untuk membuat imbasan pada kod QR yang diberikan,” katanya hari ini.

Ramli berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah wang dari e-dompet miliknya dipindahkan keluar dan tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun banknya.

“Mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal. Setiap mangsa kerugian RM200 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Program eBelia Rahmah merupakan inisiatif kerajaan bagi meringankan beban kewangan belia yang berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar insititut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

Sebanyak RM200 dikreditkan kepada penerima bermula 26 Jun lalu yang hanya boleh digunakan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch n Go eWallet.

Bagaimanapun, menurut terma dan syarat program, bantuan RM200 itu tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan kepada akaun lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI